Tuesday, July 31, 2007

Kejohanan Bola Lisut Kebangsaan 2007 pamer persembahan mantap



Kejohanan Bola Lisut Kebangsaan 2007 yang diadakan sejak awal bulan April lalu sudah berakhir baru-baru ini yang sekali lagi menobatkan pasukan Diva sebagai Juara bagi kategori wanita tahun ini sementara pasukan PLK Zombies bagi Juara kategori lelaki pada tahun ini.
Sebanyak sembilan buah pasukan wanita dan 13 buah pasukan lelaki telah menyertai kejohanan bola lisut kebangsaan 2007 sempena sambutan perayaan ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-61.

Pasukan-pasukan wanita yang mengambil bahagian pada tahun ini ialah Diva, Pasadena, QD Vixen, Angels, Tornado, Comets, Wildcats, Red Arrows dan Sapphire.

Sementara pasukan lelaki ialah PLK Zombies, Black Arrows, Gunners, Wanderers, Jag Star, Warriors, Crankies Legend, Banzai, Gregor, Knights, Sluggers, R & R dan Steelers.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Pasukan Bola Lisut Banzai yang ditaja bersama oleh Pemasaran Brunei Shell, NBT(Brunei) Sdn Bhd, Digital Impression, Sunlit Advertising, DSTCom dan Royal Brunei Airline.

Kejohanan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi setiap kategori yang mana mereka bersaing dengan pasukan-pasukan dari kategori masing-masing pada peringkat awal pusingan pertama 'round robin' sebelum memasuki pusingan pukul-mati 'Knock Out stage'.

Keputusan pusingan pukul-mati itu membawa pasukan-pasukan yang berjaya untuk memasuki perlawanan separuh akhir dimana Kahayan pasukan-pasukan dalam psuingan separuh akhir telah membawa semua pemenang-pemenang itu bersaing sekali lagi dalam perlawanan akhir yang menentukan juara tahun ini.

Juara bagi kategori lelaki telah membawa pulang wang tunai B$2000, sebuah piala kemenangan, piala rebutan kejohanan dan medal emas bagi setiap anggota pasukan sementara naib juara yang diduduki oleh pasukan Black Arrow telah meraih wang tunai B$1500,piala tempat kedua dan rantai medal perak.

Gunners yang menduduki tempat ketiga dalam kejohanan itu pula membawa pulang wang tunai B$1000, piala tempat ketiga dan medal gangsa bagi setiap anggota pasukan.

Juara bagi kategori wanita pula membawa pulang wang tunai B$1500, piala kemenangan, piala rebutan kejohanan dan medal emas bagi setiap anggota pasukan.

Naib Juara, Pasadena pula meraih wang tunai B$1000, piala tempat kedua dan medal perak bagi setiap anggota pasukan manakala pemenang tempat ketiga, Comets membawa pulang wang tunai B$500, piala tempat ketiga dan medal gangsa bagi setiap anggota pasukan.

Hadir dan seterusnya menyampaikan hadiah bagi kejohanan itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Haji Adanan Haji Mohd Yussof.
Oleh:
Siti Rahmah Haji Abdul Mutalip
Media Permata